RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua buah lori yang dipercayai membawa pelbagai jenis tanaman yang diseludup dari Thailand bernilai RM2.52 juta dalam operasi berasingan di sini kelmarin.
Rampasan empat jenis tanaman hiasan orkid, bunga nanas, mayang sari dan bonzai dari Thailand dilakukan semasa anggota PGA melakukan tugas rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, rampasan pertama pukul 8 malam itu dilakukan Kampung Kubang Rambutan di sini selepas menahan sebuah lori jenis Hino dipandu oleh lelaki berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tanaman hiasan dari jenis pokok Citharexylum Spinosum (mayang sari) dan Juniperus Chinensis (bonzai).
“Kesemua pokok yang bernilai RM510,000 itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah dan dipercayai diseludup dari Thailand.
“Rampasan kedua kita lakukan pada pukul 9.45 malam selepas anggota bertugas menahan sebuah jenis lori Hicom dipandu lelaki berusia 36 tahun di Kampung Lubok Stol,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pemeriksaan telah menjumpai tanaman hiasan jenis orkid dan Bromeliad (bunga nanas) yang dipercayai diseludup dari Thailand kerana tiada dokumen yang sah.
Katanya, pampasan keseluruhan pokok-pokok itu dianggarkan bernilai RM 2.01 juta.
“Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penghantar kepada semua pokok-pokok seludup itu untuk pasaran tempatan.
“Kita telah tahan mereka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).-UTUSAN