TUMPAT: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 13 tan gula yang dipercayai mahu diseludup ke Thailand selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam serbuan di Wakaf Bharu di sini semalam.
Serbuan pukul 5 petang itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan selepas anggota bertugas menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut telah menjumpai gula yang dianggarkan bernilai RM40,285.20.
Menurutnya, kesemua gula yang ditemukan itu tidak mempunyai dokumen sah.
“Suspek berusia 26 tahun yang ditahan itu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup gula tersebut ke negara jiran.
“Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pada pukul 6 petang anggota Batalion 8 PGA mematahkan cubaan menyeludup masak peket selepas menahan sebuah lori jenis Daihatsu dan van jenis Toyota Hiace di lokasi sama.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 300 kotak minyak peket dianggarkan bernilai RM 12,750.
“Kesemua minyak masak itu tidak mempunyai dokumen yang sah. Pada masa sama, PGA turut menahan dua lelaki berusia 56 dan 24 tahun yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak masak tersebut ke negara jiran.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. –UTUSAN