KANGAR: Perlis yang mengusahakan tanaman kenaf secara komersial sejak 2010 adalah pengeluar utama benih kenaf di negara ini sekali gus membantu Malaysia daripada bergantung kepada import bekalan tersebut sebelum ini.
Setiap tahun, Perlis membekalkan 70 peratus daripada keperluan bekalan benih kenaf negara iaitu 50 ke 60 tan metrik khususnya untuk kegunaan di negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak, Melaka, Johor termasuk Sarawak.
Sebelum ini, keperluan benih kenaf dibeli dari China dengan belanja antara RM600,000 ke RM700,000. Tanaman kenaf di Perlis melibatkan tiga kategori iaitu tujuan dapatkan biji benih, fiber dan makanan ternakan dengan membabitkan keluasan 440 hektar di Lembah Chuping, Titi Tinggi dan Semadong.
Ia membabitkan lebih 100 petani mengusahakan tanaman tersebut dan mampu menjana pendapatan sehingga RM14,000 semusim. Malah, Perlis juga mempunyai pusat pemprosesan biji benih kenaf di Beseri, di sini.
Tanaman untuk tujuan penghasilan benih sesuai pada musim kering dan mula diusahakan seawal September dan penuaian antara Januari hingga Februari.
Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus Cannabinus yang berasal dari Afrika merupakan tanaman jangka pendek, berserat dan menyerupai pokok bendi. Tempoh matang pokok kenaf antara 120-150 hari.
Batang kenaf yang siap diproses menghasilkan fiber dan core dengan kedua elemen tersebut digunakan dalam penghasilan produk berkualiti dan mesra alam seperti produk biokomposit, biodegradable utensil (BDU), panel, bedding serta makanan ternakan.
Tanaman kenaf mula diperkenalkan secara komersial melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) pada 2010 sebagai alternatif kepada tanaman tembakau dan kini, industri kenaf giat dibangunkan dan menjadi sumber pendapatan baharu kepada pekebun kecil serta syarikat komersial.
Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) negeri, Mohammad Nazri Romli berkata, tanaman untuk tujuan penghasilan biji benih itu sahaja membabitkan kawasan 340 hektar daripada keseluruhan tanaman 440 hektar.
Katanya, tanaman penghasilan biji benih lazimnya memerlukan lima bulan manakala bagi fiber empat bulan manakala untuk makanan ternakan antara 35 ke 60 hari.
Menurut beliau, penanaman kenaf di Perlis dan Kedah lebih berfokus kepada penghasilan biji benih yang diedarkan ke seluruh negara. – UTUSAN