KANGAR: Kerajaan negeri memohon kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan khas untuk menaik taraf sistem dan infrastruktur pengairan di negeri ini.
Ini kerana Perlis menyumbang sebanyak 10.38 peratus pengeluaran beras negara sekali gus memainkan peranan penting khususnya dalam sektor pertanian bagi menyokong dasar sekuriti makanan negara.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, masalah infrastruktur khususnya berkaitan sistem pengairan secara tidak langsung menjejaskan kawasan penanaman padi di negeri ini.
Katanya, masalah sistem pengairan tersebut bukan sahaja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) malah melibatkan banyak kawasan lain di luar MADA.
“Peranan Perlis sebagai antara negeri penyumbang pengeluaran beras negara menyebabkan kerajaan negeri meminta agar peruntukan khas diberikan untuk menaik taraf sistem pengairan ini.
“Ini penting kerana Perlis merupakan negeri yang menyumbang sebanyak 10.38 peratus pengeluaran beras negara dan secara tidak langsung menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan, Perlis memerlukan peruntukan RM223.4 juta untuk menyelesaikan isu pengairan seluruh kawasan penanaman padi di negeri ini.
Masalah infrastruktur khususnya berkaitan sistem pengairan di kebanyakkan kawasan di negeri ini menjadi antara faktor pesawah di Perlis sukar melaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun yang jika boleh dilaksanakan secara keseluruhan mampu membantu melonjakkan hasil beras negara.
Malah, pengeluaran beras negara dari negeri ini mampu melonjak antara 15 ke 20 peratus jika tanaman padi dalam tempoh itu berjaya dilaksanakan melalui sistem pengairan lebih sempurna.
Sebagai rekod, hasil pengeluaran padi di negeri ini adalah sebanyak 154,975,325 tan metrik semusim merangkumi kawasan tanaman seluas 27,883,29 hektar melibatkan keseluruhan 17,930 pesawah di Perlis.
Sementara itu, Mohd. Shukri turut mencadangkan pembinaan sebuah kompleks jualan barangan ikonik tempatan di negeri ini seperti Pasar Payang di Terengganu, Pasar Siti Khadijah di Kelantan dan Pekan Rabu di Kedah.
“Pembinaan kompleks itu akan menjadi daya tarikan baharu Perlis dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” katanya.- UTUSAN