KANGAR: Hujan berterusan menyaksikan beberapa kawasan di negeri ini mula dilanda banjir dengan 252 mangsa membabitkan 70 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah diaktifkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, ekoran itu, setiap agensi terlibat telah bersiap sedia dengan semua kemudahan bagi membantu mangsa terjejas malah satu pusat gerakan turut dibuka Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, setakat ini, tiga PPS yang diaktifkan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, SK Guar Nangka dan SK Arau.
“Apa yang penting sekali adalah kita mempunyai jawatankuasa untuk menilai situasi semasa banjir yang melanda negeri ini. Begitu juga dengan sekolah-sekolah di mana pihak kami dan Jabatan Pendidikan akan menilai sama ada keperluan bagi pembelajaran dalam talian atau sebaliknya,” katanya.
Beberapa kawasan di Perlis dilaporkan terjejas disebabkan banjir selepas hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Mengulas lanjut, Rahimi berkata, situasi banjir yang berlaku itu perlu ditangani dengan serius bagi memastikan semua kemudahan dapat disalurkan buat mangsa yang terjejas.
“Pada Oktober lalu, banjir yang berlaku di Kuala Perlis adalah disebabkan oleh air pasang besar di mana lebih 100 keluarga ditempatkan di PPS. Namun untuk fenomena MTL, ini adalah kali pertama Perlis terkesan sehingga banjir tapi dapat dilihat keadaan lebih teruk berlaku di sebelah Pantai Timur,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, lapan buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad, SMK Syed Hussein, SK Arau, Sekolah Tengku Budriah (STB), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hwa Aik, Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al Maad), SK Titi Tinggi dan SK Guar Nangka telah dibenarkan pulang awal hari ini.
Katanya, selain itu, sekolah-sekolah berkenaan juga dibenarkan mengikuti pengajian dalam talian pada esok.
“Sekolah-sekolah ini telah didapati terjejas banjir dan dalam pemantauan daripada Jabatan Pendidikan negeri,” katanya.-UTUSAN