GEORGE TOWN : Perkhidmatan feri di Pulau Pinang dianggarkan mengalami kerugian RM14 juta setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, berdasarkan kepada rekod kewangan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), kos perkhidmatan feri baharu adalah melebihi daripada jumlah kutipan tiket feri.
“Untuk gambaran kasar, kutipan tiket perkhidmatan feri hanya dapat menampung lebih kurang 35 peratus daripada perbelanjaan kos perkhidmatan operasi feri.
“Oleh itu, dianggarkan perkhidmatan feri mengalami kerugian tahunan sekitar RM14 juta,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Zairil (DAP-Tanjong Bungah) menjawab soalan daripada Teh Lai Heng (DAP-Komtar) mengenai kerugian yang dialami perkhidmatan feri di Pulau Pinang ketika ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kerugian operasi feri seperti kos minyak diesel yang tinggi yang dibayar mengikut harga pasaran.
Katanya, ini kerana tiada penyediaan subsidi minyak diesel diberi kepada perkhidmatan feri yang juga salah satu bentuk perkhidmatan awam yang utama di negeri Pulau Pinang.
“Selain itu, kos pemeriksaan tahunan dan penyelenggaraan yang wajib juga tinggi untuk menjamin keselamatan feri yang beroperasi serta bayaran kos insuran perkhidmatan yang melebihi RM2 juta untuk setiap feri setiap tahun.
“Namun begitu, PPSB tetap melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan untuk memberikan perkhidmatan feri yang terbaik kepada pengguna,” katanya.