PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkasa alternatif pembiayaan tidak berasaskan hutang seperti sistem Musharakah Mutanasiqah sebagai usaha mengurangkan pinjaman isi rumah.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tindakan itu perlu kerana lebih selamat dan dapat mengurangkan bebanan dengan bayaran yang tidak terjangka kepada pelanggan.
“Musharakah Mutanaqisah, iaitu prinsip dengan konsep berlandaskan perkongsian dua pihak (contohnya pelanggan dan institusi kewangan) bergabung memiliki aset bersama, seperti hartanah atau rumah.
“Selalunya dikendalikan agensi bukan bank seperti koperasi malahan boleh dikendalikan oleh SPNB dan PR1MA,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, hutang isi rumah meningkat daripada RM1.53 trilion pada akhir 2023 kepada RM1.57 trilion.
Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan itu bersamaan dengan 83.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 84.2 peratus pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, pelaksanaan kadar faedah bersifat kompetitif dengan keadaan pasaran juga perlu diperkenalkan.
“Kita tidak boleh bergantung pada Kadar Dasar Semalaman (OPR) semata-mata dalam menentukan kadar faedah kerana pihak bank akan sentiasa berusaha untuk memberi kadar faedah yang rendah demi menarik minat peminjam,” jelasnya. – UTUSAN