Perigi terapi ion dinasihatkan henti sementara operasi - Utusan Malaysia

Perigi terapi ion dinasihatkan henti sementara operasi

MOHD. Zamri Mohd. Esa menunjukkan lokasi perigi terapi ion di Ulu Sepri, Rembau kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pengusaha perigi terapi ion di Ulu Sepri, di sini, yang didakwa menyembuhkan pelbagai penyakit dinasihatkan untuk menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga keputusan siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia selesai.

Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Zamri Mohd. Esa berkata, pihaknya juga telah ke lokasi tersebut pada hari Selasa lalu bersama pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan untuk siasatan lebih terperinci.

“Susulan lawatan ke lokasi, pihak BKSA mengeluarkan satu surat arahan kepada pengusaha untuk membuat permohonan Lesen di bawah Akta Air 1920 (Akta 418) dibaca bersama Enakmen Air (Pindaan Akta Air 1920) 2007 kerana pengusaha menggunakan air sungai yang diabstrak tanpa lesen.

“Pengusaha diberi tempoh selama 14 hari untuk membuat permohonan tersebut di BKSA Negeri Sembilan. Kami akan meneruskan pemantauan dari masa ke masa memandangkan lokasi ini yang kini menjadi tumpuan ramai,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamri berkata, kedudukan telaga (perigi) adalah bersebelahan dengan Sungai Batu Hampar dan tanah bagi operasi perigi tersebut merupakan Tanah Adat serta Syarat Nyata bagi tanah adalah untuk pertanian (dusun).

“Setengah keluasan tanah digunakan bagi operasi perigi tersebut manakala setengah lagi keluasan dikekalkan sebagai kawasan dusun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mengusahakan sebarang produk atau aktiviti pelancongan di daerah ini namun usaha tersebut perlu mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi yang dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu mendapati orang ramai termasuk yang menggunakan kerusi roda berkunjung ke lokasi tersebut sehingga pukul 3 petang ini.

Tular dalam media sosial berhubung penggunaan air perigi yang didakwa boleh memberi kesan kebaikan untuk mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti strok, urat saraf dan radang saraf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya