SEREMBAN: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) kini sedang mengenal pasti ruang perniagaan dan keusahawanan termasuk menerusi pembukaan stesen minyak di laluan Lebuh Raya Utara Selatan yang dilihat mampu memberi manfaat kepada usahawan dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perbincangan telah diadakan bersama pihak syarikat PLUS Malaysia Bhd. bagi melihat peluang perniagaan yang boleh dimulakan veteran tentera ini termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R).
“Di Plus ada banyak ruang keusahawanan, tidak terhad kepada stesen minyak sahaja tetapi ada juga R&R. Memang sudah dibincangkan untuk buat kerjasama dengan koperasi-koperasi veteran ATM, JHEV (Jabatan Hal Ehwal Veteran) akan mengenal pasti mana koperasi yang berdaya saing untuk menceburi bidang-bidang tertentu bersama PLUS ini.
“Saya harap model perniagaan seperti pembukaan stesen minyak boleh diusahakan sebahagian koperasi veteran tentera ini, ia juga memerlukan kepastian daripada Plus berkaitan syarikat minyak apa dan lokasinya selain ia juga libatkan banyak kementerian lain juga seperti Kementerian Kerja Raya.
“JHEV akan memilih koperasi yang sesuai dan bagi saya juga menerusi koperasi akan lebih ramai usahawan veteran tentera akan dapat manfaat, lebih banyak produk mereka boleh dipasarkan. Selain itu jika model perniagaan (stesen minyak) dilakukan individu ia mungkin agak sukar seperti modal namun menerusi koperasi ia boleh dilaksanakan dan Perhebat boleh membantu daripada segi urus tadbir kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Adly dalam pada itu berharap supaya lebih banyak syarikat swasta turut dapat terlibat dalam program PUVET ATM yang dilaksanakan kementerian menerusi Perhebat supaya segala insentif keusahawanan seperti padanan geran, pembiayaan perniagaan dan Latihan dapat disalurkan dengan lebih bersasar kepada veteran tentera.
“Kami memang bersedia dan terbuka mana-mana syarikat swasta yang mahu bekerjasama tetapi kita kan ada penilaian sama ada di Perhebat ataupun di JHEV,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, sejumlah 1,818 usahawan veteran ATM telah menyertai inisiatif berkenaan dan sejak dilaksanakan pada 2023, seramai 216 daripada mereka telah menikmati geran berjumlah RM1.08 juta.
“Veteran ATM ini turut menikmati manfaat seperti pemadanan perniagaan, insentif seperti fasiliti dan konsultansi dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran,” katanya lagi.-UTUSAN.