SEREMBAN: Peratusan penyelidik dalam industri sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) perlu ditingkatkan secara signifikan demi mengukuhkan ekosistem bidang berkenaan dalam negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, berdasarkan data terkini, lebih 87 peratus penyelidik Malaysia adalah dari institut pengajian tinggi dan institut penyelidikan awam.
“Ketika ini, dianggarkan 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penyelidik tergolong dalam kategori saintis muda.
“Bagaimanapun, untuk mengukuhkan lagi ekosistem STIE negara kita, adalah penting untuk meningkatkan dengan ketara bahagian penyelidik dalam industri.
“Sebagai contoh, Singapura dan Thailand, kedua-duanya dikenali dengan ekosistem inovasi yang kian berkembang maju, mempunyai lebih daripada separuh iaitu 50 peratus penyelidik mereka bekerja dalam pelbagai sektor industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Anugerah Chrysalis Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) 2024 di Bandar Enstek, Nilai, di sini, hari ini.
Mohamad Yusof menambah, pihak kementerian juga komited untuk menyokong saintis muda di negara ini dan menyeru mereka untuk memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.
“Ia juga termasuklah peluang pembiayaan termasuk Dana Penyelidikan Strategik (SRF) dan Malaysia Grand Challenge (MGC) untuk memajukan idea inovatif mereka ke arah pengkomersialan,” katanya lagi.
Sementara itu, Anugerah Chrysalis YSN-ASM merupakan acara anugera yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) yang merupakan program tahunan sejak 2020.
Ia bertujuan bagi mengenal pasti dan mengiktiraf bakat penyelidik masa depan yang berpotensi di kalangan pelajar doktor falsafah (PhD) tahun akhir di Malaysia.-UTUSAN.