KUANTAN: Seorang penyelia ladang membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari sekumpulan pegawai agensi penguatkuasa di Indera Mahkota di sini.
Penyelia ladang berkenaan, Muhamad Daniel Aiman Muhamad Azlan mendakwa, selain dikasari, dia juga dimaki hamun oleh pegawai terbabit.
“Pada pukul kira-kira 10.42 malam ketika berada di sebuah pejabat agensi kerajaan di Indera Mahkota, saya pergi ke tingkat atas pejabat untuk berjumpa rakan sekerja bernama Paan yang ditahan penguatkuasa atas kesalahan menduduki tanah kerajaan.
“Kemudian saya telah didatangi empat orang penguatkuasa menyatakan pada saya buat apa di sini? dan saya mohon penjelasan mengapa menahan rakan saya terlalu lama kemudian pegawai terbabit terus memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kasar.
“Pegawai terbabit turut menolak saya dengan kuat sehingga hampir jatuh ketika hendak keluar dari bangunan tersebut. Saya juga hampir disepak oleh penguatkuasa terbabit,” dakwa penyelia ladang tersebut dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Daniel Aiman berkata, kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai penguatkuasa terbabit, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini kira-kira pukul 1.29 pagi hari ini. – UTUSAN