KOTA BHARU: Penyanyi wanita yang popular dengan lagu-lagu daerah Kelantan dan ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand semalam akan didakwa hari ini.
Sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, selain itu lima lagi lelaki yang ditahan dalam serbuan tersebut turut didakwa.
“Kesemua mereka akan berdepan pendakwaan di Mahkamah Narathiwat.
“Pendakwaan itu akan berlangsung pada pukul 9 pagi waktu tempatan,” katanya.
Sumber memberitahu, buat masa ini kesemua suspek ditahan di Balai Polis Sungai Golok.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, seorang penyanyi wanita yang popular dengan lagu-lagu daerah negeri ini ditahan polis Thailand bagi membantu siasatan berkaitan rampasan 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Golok.
Kesemua individu termasuk penyanyi berusia 20-an itu ditahan dalam serbuan pada pukul 5 pagi waktu tempatan. – UTUSAN