Penuntut UPNM dakwa dipijak: Keterangan suspek diambil petang ini - Utusan Malaysia

Penuntut UPNM dakwa dipijak: Keterangan suspek diambil petang ini

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis setakat ini sudah mengambil keterangan seramai sembilan individu berkaitan kes buli membabitkan seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa dipijak senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini suspek belum dirakam percakapan berkaitan kes tersebut.

“Kita akan mengambil keterangan suspek yang juga penuntut senior pada petang ini di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras,” katanya ringkas hari ini.

Semalam, polis mengesahkan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.

“Akibatnya mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang,” katanya.

Tambah Rusdi, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur berhubung kecederaan yang dialami.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN