Peniaga dakwa diugut penguat kuasa, dituduh curi buah kelapa sawit - Utusan Malaysia

Peniaga dakwa diugut penguat kuasa, dituduh curi buah kelapa sawit

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang peniaga mendakwa diugut dan dituduh mencuri buah kelapa sawit atas tanah kerajaan negeri di Kampung Ulu Luit, Maran dekat sini, semalam.

Peniaga terbabit, Wong Ah Kow, 76, berkata, ketika sedang memandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) kira-kira pukul 2 petang, dia dihalang oleh tiga lelaki yang bertindak membuka pintu kenderaannya dan merampas kunci.

“Tanpa memperkenalkan diri, saya dituduh mencuri buah kelapa sawit di atas tanah kerajaan tetapi saya menafikannya kerana saya melakukan kerja di atas tanah milik kawan yang memiliki geran yang sah.

“Lelaki terbabit membawa saya ke Balai Polis Maran dan menyita kenderaan 4×4 saya. Mereka juga mengugut untuk memukul jika saya tidak memberi kunci kepada mereka,” dakwanya di sini hari ini.

Ah Kow mendakwa, penahanan tersebut dibuat tanpa asas kerana ketika ditahan, dia tidak membawa buah kelapa sawit ataupun kayu.

“Saya tidak berpuas hati dengan kejadian ini dan akan merujuk pihak peguam, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan kerajaan negeri atas tindakan penguat kuasa tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Maran, semalam supaya siasatan dibuat dan individu terbabit dikenakan tindakan.

“Saya berharap polis segera bertindak dan mengambil tindakan terhadap individu berkenaan kerana membuat ugutan dan tuduhan tidak berasas terhadap saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN