KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan mengenai persiapan banjir Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) melibatkan negeri di Pantai Timur.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman web Parlimen, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa akan mengajukan soalan kepada Menteri Petra pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri mengenai langkah drastik kementerian itu dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir.
Pada sesi sama, Ahli Parlimen Seri Gading, Aminolhuda Hassan minta Menteri Kewangan menyatakan setakat mana keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel yang diusahakan melalui MyBUDI dan bagaimana golongan T15 ditentukan khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan tahun 2025.
Dalam sesi soal jawab pula, perkembangan siasatan pesawat MH370 turut diajukan oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin kepada Menteri Pengangkutan iaitu untuk menyatakan sama ada kerajaan masih berhasrat untuk meneruskan usaha mencari pesawat itu.
Selain itu, isu ketagihan vape turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad kepada Menteri Pendidikan yang menyatakan usaha kementerian dalam menangani masalah ketagihan vape dan rokok yang memberi kesan negatif kepada kesihatan para pelajar.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian disusuli Ahli Parlimen menyambung semula perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 yang memasuki hari kelapan dan seterusnya Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air membentangkan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali yang kedua.
Perdana Menteri pula dijangka membentangkan tiga RUU iaitu RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi sesi perbahasan peringkat dasar, yang akan diikuti oleh sesi penggulungan oleh menteri dari setiap kementerian selama empat hari bermula 6 November.