PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru, ‘El Sol del Peru’ menjadi permulaan baharu kepada perhubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri dikurniakan anugerah itu oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra yang dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar negeri, menteri negara, duta asing bertauliah atau presiden pihak berkuasa awam.
Katanya, beliau berbesar hati menerima anugerah itu bagi pihak rakyat Malaysia dan ia juga sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara.
“Penganugerahan ini juga diharap menjadi permulaan baharu kepada hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima sambutan negara dalam kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru di Istana Kerajaan di Lima.
Beliau kini berada di Lima bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) APEC 2024.
Dalam persidangan itu, beliau dijangka menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua. – UTUSAN