KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah teater, Siti Rohaya Atan menegur sikap segelintir penggiat teater muda yang didakwa malas menjaga kebersihan dan penampilan diri.
Katanya, sikap sedemikian harus dikikis dan diperbetulkan agar dunia teater tanah air tidak disalah tafsir dan dipandang serong masyarakat.
“Saya tegur sebab saya pernah berdepan dengan golongan ini. Muka kusut masai, gigi tak gosok dan badan berbau.
“Penggiat teater muda yang malas jaga kebersihan ini, cuba tanya diri sendiri, dengan imej yang mereka tonjolkan itu, ada atau tidak penaja mahu taja projek teater mereka?
“Kalau memang mereka busuk, perbaikilah imej dan jagalah kebersihan diri sendiri. Ubah sikap dan penampilan. Kalau mereka perbaiki imej, penaja tentu gembira untuk menaja teater mereka,” katanya.
Siti Rohaya berkata demikian ketika sidang media Pementasan Purbawara Muzikal: Sulalat ‘Us Salatin: Kemaharajaan Maritim Selat Melaka di Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mengulas isu sama, Siti Rohaya memaklumkan dia tidak akan teragak-agak untuk menegur secara terbuka penggiat teater terlibat meskipun teguran itu boleh menyalakan api kemarahan golongan yang tidak sependapat dengannya.
“Sebagai orang lama, saya bagi pandangan. Mahu manfaatkan atau tidak, terpulang kepada mereka.
“Kita hidup dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Selagi mampu, saya bercakap. Dan saya menegur kerana saya berdepan situasi itu.
“Kalau mereka tak mahu terima teguran, macam mana mereka nak kembangkan fikiran? Tidak akanlah mereka mahu terus bersikap tidak profesional dan langgar peraturan.
“Saya tak takut untuk bersuara mengenai perkara ini. Kalau mereka tetap berkeras, mahu terus tampilkan imej pengotor, tak mahu berubah, teruskanlah,” katanya. – UTUSAN