PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menukar pentadbiran Institut Pendidikan Mara (IPMA) termasuk Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jika didapati menyorok maklumat dan menutup kes-kes buli.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, beliau telah diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan tegas tersebut.
“Jika saya dapat maklumat ada usaha menyorokkan maklumat dan menutup kes-kes berkaitan buli atas apa jua alasan, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengarahkan saya untuk turut ambil tindakan tegas termasuk menukar Pengetua, Pengarah MRSM atau IPMA terbabit,” katanya dalam akaun X beliau hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya buli di semua pusat pendidikan sama ada di universiti dan sekolah mesti dihentikan segera.
Katanya, tiada tolak ansur berhubung sikap itu kerana ia jelas merupakan satu bentuk penganiayaan kepada generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, semua pentadbiran dan pengurusan sekolah, universiti mesti melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab untuk menghentikan amalan buli dalam kalangan mahasiswa dan pelajar.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, tiada kompromi terhadap pelaku buli di mana-mana IPMA termasuk MRSM, Institusi Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Poly-Tech Mara, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Poly-Tech Malaysia.
“Saya tidak kira anak pembesar ke, anak orang kenamaan berpengaruh sekali pun jika didapati melakukan perbuatan buli, mereka tiada tempat di IPMA; ‘You Touch, Yo Go’ (anda sentuh, anda pergi,” katanya. – UTUSAN