PETALING JAYA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu kenalannya dalam mendapatkan darjah kebesaran bergelar ‘Datuk’ yang tidak wujud, tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Khoo Keik Sing, 50, didakwa telah menipu Teo Yun Hock, 48, dengan memperdayakan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM100,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Oktober dan 28 Disember 2021 di sebuah premis di Kota Damansara di sini.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Tio Poh Heng yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan merupakan orang kurang upaya yang mempunyai masalah pendengaran selain menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang.
“Anak guam juga menanggung keluarga iaitu isteri, seorang anak yang masih belajar serta ibu yang uzur,” katanya.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN