PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan penerbangan MH79 dari Hong Kong (HKG) ke Kuala Lumpur (KUL) telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Ho Chi Minh City (SGN) akibat isu teknikal semasa penerbangan.
MAS dalam kenyataan hari ini berkata, juruterbang bertugas membuat keputusan untuk melencongkan penerbangan demi kepentingan keselamatan semua penumpang.
Selain itu, ia bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal, Kuala Lumpur. Pada setiap masa, keselamatan penumpang tidak pernah dikompromi.
Penerbangan yang membawa 147 penumpang dan tujuh anak kapal itu selamat mendarat pada jam 10:40 pagi tadi.
Para penumpang kini sedang dialihkan ke penerbangan alternatif untuk memastikan mereka tiba di destinasi masing-masing, sementara sebahagian daripada mereka disediakan penginapan di hotel berdekatan lapangan terbang.
Malaysia Airlines kesal atas kesulitan dan gangguan kepada rancangan perjalanan para penumpang. Keselamatan tetap menjadi keutamaan nombor satu bagi Malaysia Airlines.