Penduduk Pahang diminta siap sedia hadapi Monsun Timur Laut - Utusan Malaysia

Penduduk Pahang diminta siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penduduk di negeri ini diminta bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 5 November ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MTL yang dijangka berakhir pada Mac 2025 lazimnya menyebabkan banjir di Pahang.

“Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, serta mematuhi arahan pihak berkuasa jika perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Insya-Allah, kerajaan negeri bersama-sama agensi keselamatan yang lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini,” katanya di sini hari ini.

Wan Rosdy turut melahirkan harapan semoga semua rakyat di negeri ini dilindungi oleh Allah SWT daripada menghadapi sebarang musibah dan malapetaka.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip dilaporkan berkata, MTL atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh dijangka bermula 5 November ini sehingga Mac depan.

Dr. Mohd. Hisham berkata, dari November hingga Disember ini, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah manakala dari Januari hingga Februari depan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan wujud cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN