BESUT: Kebanyakan penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir di Kampung La, Hulu Besut dekat sini, membina loteng untuk meletakkan barangan rumah sebagai persediaan.
Nik Azizah Nik Mohd., 49, berkata, pembinaan loteng tersebut dapat mengelakkan barangan di rumahnya rosak akibat ditenggelami banjir pada setiap tahun sejak 28 tahun lalu.
Menurutnya, loteng tersebut dibina setelah mendapat bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas kejadian banjir besar dua tahun lalu.
Katanya, pada tahun ini, dia memindahkan beberapa barangan di loteng tersebut lebih awal berbanding sebelum ini kerana bimbang berlaku banjir dalam tempoh terdekat ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu.
“Sejak minggu lalu, saya sudah mula memindahkan sebahagian barangan di rumah saya ke bahagian loteng sebagai persediaan awal menghadapi banjir.
“Ini kerana rumah saya merupakan rumah terawal dinaiki air sekiranya hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh satu hari dan pada masa sama, air sungai mulai melimpah ke tebing,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung La, Hulu Besut di sini.
Nik Azizah yang bekerja sebagai tukang masak berkata, dia mengalami kerugian besar apabila sebahagian barangan dalam rumahnya mengalami kerosakan setelah dinaiki air lebih satu meter dalam kejadian banjir, dua tahun lalu.
“Bagaimanapun, saya berharap tidak berlaku banjir besar di kampung ini pada tahun ini,” ujarnya
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh dijangka bermula 5 November ini dan berterusan sehingga Mac depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, dari November hingga Disember ini, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah manakala dari Januari hingga Februari depan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.