HULU TERENGGANU: Penduduk Kampung Kemat dekat sini bimbang berlaku banjir besar pada musim tengkujuh berikutan Sungai Por di kampung itu semakin cetek.
Penduduk mendakwa Sungai Por menjadi cetek selepas bencana kepala air melanda Februari dua tahun lalu, sekaligus menyebabkan banjir kilat kerap berlaku selepas itu.
Seorang penduduk, Kadir Daud, 79, berkata, dia menetap di kampung itu sejak tahun 1968 dan antara mangsa yang berpindah apabila banjir melanda kampung tersebut.
“Penduduk trauma setiap kali berdepan hujan lebat dan bersedia ke tempat lebih selamat. Kebimbangan kami makin memuncak menjelang musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemat di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Zainon Endut, 80, berkata, dia berasa cemas setiap kali hujan lebat kerana rumahnya terletak berhampir an sungai.
Menurutnya, dia berharap kerja-kerja mendalamkan sungai tersebut dapat dilaksanakan segera sebelum tiba musim tengkujuh.
“Saya dan beberapa buah rumah penduduk yang lain perlu melalui jambatan untuk keluar. Kami juga bimbang jambatan dibina sejak 1984 itu runtuh atau tidak boleh dilalui apabila banjir,’ ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Fatimah Mat, 68, juga tidak terkecuali menjadi mangsa dalam kejadian banjir besar dua tahun lalu sehingga menyebabkannya kerugian lebih RM2,000 kerana tidak sempat menyelamatkan perkakasan elektrik.
“Dalam kejadian banjir tahun lepas, saya tidak pindah kerana air tidak begitu besar. Namun kejadian banjir besar yang dihadapi pada 2022 masih diingati dan bimbang terutamanya ketika hujan lebat,” ujarnya.