KOTA BHARU: Seorang pemilik lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki minyak diesel sebanyak 3,399 liter tanpa lesen sah dan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkait bahan api itu.
Tertuduh, Rosli Hassan, 64, membuat pengakuan itu dihadapan hakim Zulkifli Abllah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki minyak diesel sebanyak 3,399 liter yang dijumpai dalam lori tangki miliknya di jalan Kampung Gong Kala Sungai Petai, Pasir Puteh pada 5 pagi, 2 Februari lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa gagal mengemukakan maklumat atau dokumen berhubung barang kawalan minyak diesel berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah bersama Pegawai Pendakwa Muhammadi Iman Masjuri.
Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Muhamad Hanis Mohd. Shariff.
Wan Mohd. I’zzat kemudian menawarkan wang jaminan RM40,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM25,000 bagi pertuduhan kedua berdasarkan alasan keseriusan kerajaan membendung isu ketirisan barang kawalan minyak diesel.
Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diperintahkan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan serta melapor diri di pejabat KPDN Kelantan pada setiap bulan.
Makahmah menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan kes.