KUANTAN: Pemilik sebuah butik kosmetik di Jaya Gading di sini dan pekerjanya masih trauma selepas kejadian pukau yang berlaku Rabu lalu sehingga menyebabkan kerugian sekitar RM4,000.
Pemilik butik, Sabrieyna Mohamad, 32, berkata, pekerjanya yang dikenali sebagai Qila dikatakan masih tidak dapat hadir bekerja dan berada dalam keadaan tidak sihat.
“Dia (pekerja) cuti hari ini kerana hendak pergi jumpa ustaz untuk berubat. Dia beritahu dia berasa tidak sedap badan dan pening kepala selepas tersedar dari terkena pukau itu,” katanya.
Tambahnya lagi, dia sehingga kini masih berasa tidak percaya dengan kejadian yang menimpa pekerjanya itu.
“Sampai sekarang masih trauma dan masih tidak percaya kejadian pukau ini boleh berlaku di kedai saya,” ujarnya.
Bercerita lanjut tentang kejadian, Sabrieyna berkata, ketika itu dia tidak berada di butiknya kerana melakukan urusan luar manakala butiknya dijaga pekerjanya.
Katanya, kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 2.30 petang di mana suspek dikatakan datang ke butiknya untuk membeli 200 botol minyak wangi dan juga barangan kosmetik.
Sabrieyna kemudiannya dihubungi pekerjanya itu memaklumkan berkaitan pembelian yang ingin dilakukan suspek yang kononnya untuk dijadikan hadiah kepada tetamu ketika hari perkahwinan suspek nanti.
Tambahnya lagi, pekerjanya itu memaklumkan suspek dikatakan hendak keluar ke bank sebentar bagi mengeluarkan wang untuk membayar minyak wangi berkenaan dengan meninggalkan sebuah beg berisi telekung dan tudung.
Bagaimanapun suspek dikatakan tidak kembali kedai dan pekerjanya dilihat hanya mendiamkan diri dan mula tersedar pada keesokannya sekitar jam 2.11 petang sebelum meminta Sabrieyna untuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian.
Sabrieyna kemudiannya bertindak memuatnaik rakaman CCTV yang memaparkan suspek berbual dengan pekerjanya itu sambil mengambil beberapa barang kemas milik mangsa di laman sosial Facebook, semalam.
Video berdurasi 1 minit 20 saat itu kemudiannya menjadi tular dan mendapat banyak perkongsian pengguna Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd.Zahari Wan Busu dalam kenyatannya kepada media mengesahkan menerima laporan bekaitan kejadian.
Katanya, mangsa tanpa sedar telah menyerahkan seutas gelang emas, seutas rantai emas dan sebentuk cincin emas kepada suspek.
“Mangsa hanya sedar barang kemas miliknya hilang selepas suspek keluar dari kedai. Anggaran kerugian dialami pengadu sebanyak RM4,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal suspek merupakan seorang perempuan Melayu yang dipercayai umur dalam lingkungan 40an. Mangsa juga tidak pernah kenal dan tidak pernah berjumpa dengan suspek tersebut,” katanya.
Wan Mohd. Zahari dalam masa sama turut meminta orang ramai untuk membantu mengesan suspek dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan boleh melaporkannya di balai polis berdekatan. – UTUSAN