SHAH ALAM: Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi sesi 2024 – 2025 menunjukkan peningkatan seramai 72.27 peratus mahasiswa keluar mengundi berbanding sebelum ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, peningkatan tersebut menunjukkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa UiTM terhadap komitmen kepada perwakilan mereka dan tanggungjawab kepemimpinan di kampus.
“Ia juga memperlihatkan semangat mahasiswa UiTM dalam memperjuangkan hak serta kepentingan komuniti kampus, di samping menjadi platform penting dalam membina dan melahirkan kepemimpinan masa depan.
“Proses pemilihan itu bukan sekadar latihan kepimpinan bagi mahasiswa, tetapi juga medan bagi mereka menghadapi dan menyelesaikan cabaran secara bijaksana,”katanya kepada pemberita, semalam.
Tambahnya, pemilihan MPP mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuhkan nilai kepimpinan serta memperkasakan peranan mahasiswa secara telus dan berintegriti.
Pada 28 Oktober lalu, MPP UiTM Sesi 2023 – 2024 mengumumkan pembubarannya selaras dengan peruntukan Bahagian IV(A), Seksyen 23E(1) dan (2), Akta UiTM 1976 yang merujuk kepada surat Naib Canselor berkenaan tarikh pembubaran rasmi MPP yang ditetapkan pada tarikh tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan proses pemilihan turut dilaksanakan di seluruh 34 kampus UiTM seluruh negara dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).
“Mahasiswa UiTM menunjukkan komitmen serta kebolehan tinggi dalam mengendalikan pemilihan MPP,” ujarnya.
Terdahulu pengumuman rasmi senarai barisan kepemimpinan MPP UiTM sesi 2024/2025 dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Mohammad Nazim Mohd.Nizam, di Pusat Sukan UiTM Shah Alam semalam. – UTUSAN