KUALA LUMPUR: Bidang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang difokuskan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri berperanan penting dalam membentuk masa depan ASEAN, khususnya untuk memacu ekonomi digital.
Peruntukan khusus sebanyak RM10 juta kepada Pejabat AI Kebangsaan dan RM50 juta untuk pendidikan AI menunjukkan langkah kukuh ke arah membina kepakaran tempatan dalam teknologi AI.
Malah, inisiatif itu juga memperkasakan sokongan kepada universiti tempatan untuk menerajui pembangunan teknologi, seperti projek Model Bahasa Melayu (LLM-BM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengangkat bahasa Melayu dalam teknologi bahasa berasaskan AI.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, ia merupakan langkah terbaik jika kerajaan mahu pulangan yang menguntungkan pada masa hadapan.
“YTL mahu mengambil peluang ini untuk memajukan bidang AI di Malaysia untuk anak bangsa, supaya kita punya kepakaran sendiri setanding negara luar.
“Ketika ini, kami bersama Universiti Malaya dalam membangunkan projek Model Bahasa Melayu, selain memperluaskan lagi model AI di Malaysia yang merangkumi budaya dan sensitiviti yang tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, YTL Power International telah bekerjasama dengan NVIDIA untuk membina infrastruktur AI yang akan membawa superkomputer terpantas ke Malaysia menjelang pertengahan tahun 2024.
“Malah YTL juga terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasakan teknologi AI di dalam negara. Bahkan kini kami bersama UM membangunkan projek Model Bahasa Melayu, selain memperluaskan lagi model AI di Malaysia yang merangkumi budaya dan sensitiviti yang tersendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut tentang cabaran, Chee Mun turut berkata, semua pihak perlu mengambil manfaat terhadap kemajuan bidang teknologi, namun dalam masa yang sama turut menegaskan ini bukanlah pengganti kepada tenaga kerja manusia seperti yang diperkatakan ketika ini.
“Contoh termudah yang kita boleh gunakan adalah perkhidmatan kerajaan. Apabila teknologi AI dibawa masuk, ia bukan bermaksud hendak membuang kakitangan. Sebaliknya, inilah cara untuk kita memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Ia mungkin memberi kesan kepada beberapa bidang, itu kita akui. Namun hanyalah sebilangan kecil, terutama kepada bidang yang kurang kompetitif seperti perakaunan, pemasaran dan jualan. Paling penting adalah untuk semua pihak tidak menyalahgunakan teknologi AI kepada perkara yang tidak bermanfaat. Sebagaimana penggunaan Internet yang boleh membabitkan penipuan dan salah guna maklumat, bidang AI juga boleh menjurus ke arah itu.
“Maka, dalam masa kita menikmati kemajuan, kerajaan perlu mencari jalan untuk mengetatkan lagi undang-undang khususnya penggunaan teknologi AI dalam kalangan penggiat dan rakyat secara amnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, untuk mengubah Malaysia daripada penggunaan kepada pembangunan AI, ekosistem AI ini perlu diperkukuhkan terlebih dahulu dengan mengambil contoh rantaian bekalan China, dimana Malaysia perlu memiliki ekosistem AI yang penuh dengan syarikat teknologi tempatan dan industri sokongan.
“Ekosistem ini bukan sahaja membolehkan Malaysia mencipta penyelesaian AI untuk keperluan sendiri, malah berpotensi untuk mengeksport teknologi ini secara global. Pendekatan ini mengukuhkan industri teknologi tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi serantau, menarik kerjasama dan projek dari syarikat antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia kini telah meraih pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion (AS$1 = RM4.30) daripada syarikat gergasi teknologi dunia termasuk Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle.
Sementara itu, bagi CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil, kejayaan Malaysia yang menerima banyak pelabur ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Pelaburan itu akan menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan untuk rakyat manakala inisiatif peningkatan kemahiran dan penubuhan pusat kecemerlangan akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap digital di Asia Tenggara,” katanya.
Malah, beliau juga menyifatkan Belanjawan 2025 baru-baru ini sebagai tepat pada waktunya dan selaras dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN 2025.
“Dengan sokongan insentif serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan, banyak syarikat boleh meningkatkan kelebihan daya saing, operasi berskala serta memacu transformasi digital Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital Corporation, Adrian Marcellus, beliau juga percaya Malaysia mempunyai standard pembangunan AI secara beretika, dijamin selamat dan kurang risiko.
“Adalah penting untuk setiap rakyat Malaysia meraikan komitmen kerajaan memperkasakan bidang AI demi masa hadapan generasi akan datang.
“Menyokong bidang AI bukan sekadar terhad kepada sesi pembelajaran atau penyelidikan tetapi bagaimana kita hendak memastikan teknologi ini berkembang dengan cara yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN