KAJANG: Polis sedang mengenal pasti punca kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dipandu warga emas yang merempuh tiga kenderaan lain di Taman Minang, Cheras di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, pemandu berusia 73 tahun yang juga pesara kerajaan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketika kejadian, pemandu terbabit dalam perjalanan menghala balik ke rumah namun semasa melalui Jalan Bahagia 8 di sini, mangsa yang memandu Proton Saga hilang kawalan sehingga melanggar sebuah kereta yang diletakkan di sebelah kanan jalan.
Bagaimanapun, menurut beliau, dalam usaha mengundurkan kendaraannya, pemandu terbabit turut melanggar dua lagi kereta yang diparkir di sebelah kiri jalan serta melanggar pagar rumah.
“Pemandu warga emas itu telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bedah siasat akan dijalankan di petang ini bagi mengenal pasti punca kematian pemandu terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati pemandu terbabit mempunyai sejarah sakit jantung dan membuat pemeriksaan berkala di hospital.
“Kes disiasat dibawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Nur Faezah di talian 012-3268496.
“Pihak Polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu,” katanya.- UTUSAN