LIPIS: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di kilometer 4 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Tempoyang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 8.30 pagi melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Siasatan awal polis mendapati pemandu, Chia Boon Tiong, 55, bersama isterinya, Kok Yit Long, 67, dalam perjalanan dari Machang, Kelantan menuju ke Selayang, Selangor untuk menghadiri mesyuarat.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pacuan empat roda telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan lalu masuk ke dalam parit yang digenangi air selepas hujan lebat,” katanya di sini hari ini.
Ismail berkata, semasa polis sampai di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang hampir tenggelam.
“Sarjan Mohd. Affendy Suhaimi turun untuk menyelamatkan mangsa yang hampir lemas. Sebelum beliau sampai di dalam parit, mangsa berjaya keluar dari kenderaan melalui cermin tingkap yang pecah,” ujarnya.
Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan luka kecil di bahagian tangan manakala isterinya selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59 (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959).
“Pihak polis memohon sekiranya ada individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di talian 093129999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN