SEREMBAN: Lebih 166 tan barang kitar semula yang bernilai kira-kira RM80,000 berjaya dikumpulkan sejak bulan September tahun lalu sehingga 31 Ogos lalu menerusi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 yang telah dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)
Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, kesemua barangan kitar semula yang secara keseluruhannya seberat 166,737.29 kilogram itu adalah menerusi penyertaan sebanyak 66 buah sekolah di negeri ini.
“Sebanyak 47 sekolah rendah dan 19 sekolah menengah telah mengambil bahagian dan jumlah kutipan barang kitar semula pada kali ini mencatatkan peningkatan 62 peratus berbanding pertandinga tahun sebelumnya.
“Pertandingan ini jelas dengan objektifnya iaitu membudayakan amalan 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula) serta menggalakkan kreativiti warga sekolah dalam menghasilkan produk inovasi daripada barangan terpakai, selain menunjukkan barangan kitar semula ini boleh menjana sumber pendapatan sampingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah- Sekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di sini, hari ini.
Menurut Cairul Hisham lagi, pertandingan berkenaan merupakan penganjuran kali kesepuluh dengan kerjasama Kementerian Pendidikan yang bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, isu pengurusan sisa pepejal sentiasa menjadi perhatian kerajaan
dan program pertandingan berkenaan dapat menggalakkan orang ramai menyumbang kepada kelestarian alam sekitar bermula di bangku persekolahan.
“Saya yakin program ini dapat memberikan impak jangka panjang yang membentuk generasi yang lebih peka terhadap alam sekitar. Ini kerana apa yang dilaksanakan di sekolah lazimnya akan dilakukan di rumah juga,” katanya.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas, Rembau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Jalor, Tampin masing-masing memenangi tempat pertama bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.-UTUSAN.