KANGAR: Seorang pelajar tingkatan dua yang dipercayai khayal selepas menghisap vape terjatuh dari bumbung pejalan kaki di sebuah sekolah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar pukul 10.50 pagi di mana seorang pelajar telah terjatuh dari tingkat satu bangunan sebuah sekolah di sini.
Katanya, kejadian berkenaan dipercayai berlaku selepas pelajar terbabit menghisap vape lalu menyebabkan badannya menjadi panas dan khayal.
“Pelajar berkenaan kemudian telah turun dari tingkat satu bangunan berkenaan dan berjalan di atas bumbung pejalan kaki yang rapuh lalu menyebabkan dia terjatuh. Susulan itu, pelajar berkenaan telah mengalami luka kecil di kaki dan lutut,” katanya di sini hari ini.
Tambah Yusharifuddin, pihaknya telah memanggil keluarga pelajar tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar susulan daripada kejadian itu.
Katanya, pihak sekolah turut mengambil tindakan penggantungan terhadap pelajar berkenaan bersama-sama dua lagi rakannya yang terlibat dalam aktiviti menghisap vape tersebut.
“Pelajar tersebut telah diserahkan semula kepada pihak keluarga setelah ujian saringan awal air kencing dijalankan dan didapati negatif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin turut mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, pihak sekolah terpaksa menghubungi polis sebelum itu berikutan pelajar berkenaan menjadi tidak terkawal dengan keadaan meracau dan merapu.
“Pelajar tersebut dipercayai telah khayal dan bertindak turun dari tingkat satu bangunan sekolah ke bumbung laluan pejalan kaki selepas menghisap vape di dalam kelas pada penghujung waktu rehat,” katanya.
Tambah Ros Aza, pihak sekolah turut melakukan siasatan dalaman berhubung kes itu dan menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan negeri.
“Jabatan Pendidikan negeri juga membimbing sekolah melalui Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) bagi membantu pelajar terbabit,” katanya.-UTUSAN