PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawainya.
Ini terbukti apabila pegawainya, Azizun Mohamad, yang memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya (Gred P48) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.
SPRM dalam kenyataan berkata, Azizun didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000.00, berkaitan dengan Op Green.
Katanya, ia melibatkan operasi SPRM yang membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019.
“Kesalahan itu didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM berkata, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara.
“Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.
“SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” katanya.- UTUSAN