Payung pantai menarik, tersusun ganti 'khemah biru' di Pantai Telok Kemang - Utusan Malaysia

Payung pantai menarik, tersusun ganti ‘khemah biru’ di Pantai Telok Kemang

J. ARUL Kumar pada Sesi Pertanyaan Lisan Hari Ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan kaedah baharu iaitu menerusi sewaan payung pantai yang lebih menarik, tersusun dan terkawal akan diperkenalkan di Pantai Telok Kemang, Port Dickson bagi menggantikan perniagaan sewaan khemah dan kanopi berwarna biru yang telah diarah untuk diberhentikan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, jangkaan kaedah baharu sewaan payung pantai itu adalah bermula pada 16 Disember ini.

Jelas beliau, keputusan tersebut diambil hasil perbincangan dan libat urus yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kemang pada bulan September lalu.

Tambahnya, untuk tujuan pelaksanaan kaedah baharu itu, MPPD akan menjalankan kerja naik-naik taraf dan penyediaan plot bermula 18 November lalu sehingga 15 Disember ini.

“Kaedah baharu bagi penyelesaian isu tersebut (khemah biru) adalah penggunaan payung pantai yang lebih tersusun dan terkawal. Penentuan kawasan khas untuk penempatan payung pantai melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang.

“MPPD menyediakan hanya 33 plot perniagaan payung pantai berdasarkan kesesuaian lokasi. Setiap plot berukuran 40 kaki x 20 kaki, perniagaan sewaan payung pantai hanya dibenarkan berada di plot masing-masing berdasarkan keluasan yang telah dinyatakan.

“MPPD akan menyediakan sebanyak 8 unit payung pantai, dua buah kerusi dan sebuah meja yang bersesuaian bagi setiap plot. Berdasarkan jumlah peniaga semasa melebihi plot yang disediakan, kaedah undian yang layak akan dibuat oleh MPPD dalam tempoh terdekat,” katanya.

Arul Kumar berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Lisan (Hari Ketiga) Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Beliau menjawab kepada Choo Ken Hwa (PH-Lukut) yang ingin penjelasan kerajaan negeri berkenaan isu tular di media sosial berkenaan isu sewaan khemah di Pantai Telok Kemang serta tindakan yang diambil bagi mengembalikan imej baik pantai berkenaan.


KEADAAN Pantai Telok Kemang, Port Dickson yang kini bebas tanpa kehadiran khemah dan kanopi biru yang sejak sekian lama menimbulkan rungutan kepada pengunjung di pantai tersebut.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, beliau menambah, MPPD juga akan memasang papan tanda beserta nombor hotline Jabatan Penguatkuasa bertujuan mengingatkan Pantai Telok Kemang merupakan pantai awam dan memudahkan aduan bagi sebarang salah laku penggunaan pantai awam.

“MPPD juga akan menaik taraf pusat kawalan di Pantai 3 Telok Kemang bagi menempatkan anggota secara statik terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Selain itu, MPPD menyediakan peruntukan secara one off meliputi kos payung pantai, kerusi, meja, naik taraf plot, naik taraf pusat kawalan dan papan tanda berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, isu berkaitan kawasan Pantai Telok Kemang di Port Dickson yang dibanjiri dengan pemasangan khemah dan kanopi berwarna biru sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, proses perbincangan dijalankan bersama peniaga sewaan khemah terbabit bagi mencari kaedah penyelesaian termasuk berkemungkinan konsep baharu khemah akan digunakan.

Katanya perbincangan dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian menang-menang termasuk supaya pengusaha boleh terus mencari rezeki seperti yang dilakukan sejak sekian lama di samping memastikan pemandangan indah persekitaran lebih selesa di pantai terbabit.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya