KUALA LANGAT: Kerajaan akan memastikan jalan raya di Pelabuhan Klang yang akan dibaiki dan dinaik taraf akan menggunakan bahan berkualiti bagi memastikan ia tahan lama serta mampu menampung kekerapan tinggi bagi kenderaan berat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan memastikan infrastruktur yang dibina adalah terbaik dan boleh menampung keperluan itu.
“Kawasan itu adalah dilalui kenderaan berat, jadi memang berharaplah apabila dirancang pembinaannya ambil kira bahan yang hendak digunakan lebih bermutu dan lebih tahan untuk digunakan sebagai pavement.
“Itu kita boleh cadangkan, memang kita tahu sebab pelabuhan itu memang kawasan yang lori-lori atau kenderaan dengan muatan berat melaluinya. Memang tak boleh elakkan sebab itu adalah sebahagian daripada aktiviti ekonomi kita,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan sebanyak RM107 juta bagi pembinaan serta menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.
Dalam pada itu, Alexander memaklumkan susulan pengumuman dalam belanjawan itu, projek tersebut dapat dilaksanakan, namun tidak memberitahu jangkaan tempoh masa ia akan disiapkan.
“Seperti mana diumum Perdana Menteri ada beberapa projek disebut oleh beliau dalam belanjawan dan akan dilaksanakan. Projek itu sudah dikenal pasti dan disebut dalam belanjawan, bermakna duit sudah ada. Jadi, bermulalah kerja-kerja awal untuk melaksanakan projek itu.
“(Tetapi) Masih dalam perancangan, saya tak dapat beritahu bila projek itu akan siap. Tetapi peruntukan sudah diumum dalam belanjawan dan dikira sudah bermula,” ujarnya. – UTUSAN