KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersama enam kerajaan negeri yang terjejas akibat banjir akan memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjamin sepanjang menghadapi Monsun Timur Laut ketika ini.
Enam negeri yang terjejas ketika ini ialah Kelantan, Terengganu, kedah, Perlis, Johor dan Perak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 membabitkan 11, 385 keluarga di enam negeri yang terkesan setakat pukul 9.32 pagi, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 323 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di enam negeri yang terjejas bagi memberi perlindungan kepada mangsa.
“Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama dalam persiapan yang lebih baik tahun ini.
“Nadma telah diarah untuk memperkemaskan penyelerasan seluruh jentera agensi Persekutuan dan negeri.
“Ini bagi memastikan keselamatan mangsa banjir dan penduduk di kawasan terkesan menjadi keutamaan tinggi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut november 2024 hingga Mac 2025,” katanya dalam Dewan Rakyat Hari ini.
Anwar berkata, Kelantan merekodkan mangsa banjir yang tertinggi ketika ini membabitkan 30,582 orang bersamaan 9,232 keluarga.
“Sebanyak 157 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,” katanya.- UTUSAN