KUALA LUMPUR: Ahli parlimen pembangkang mempersoal pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu serangan Israel ke atas penduduk Palestin yang didakwa mereka sebagai tidak konsisten.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, selama ini Malaysia membuat tindakan sangat berani dan lantang sehingga memfailkan usul membawa keluar Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, kata beliau, pendirian itu tidak selari dengan jawapan Perdana Menteri ketika diwawancara media antarabangsa CNN mengenai isu itu.
“Wawancara PM dengan CNN ketika menjawab soalan ketika ditanya, ‘Does Israel has a right to exist and defend itself?’ Adakah Israel ada hak untuk wujud dan pertahankan diri?
“Perdana Menteri menjawab ‘Yes’ (ya).
“Dengan hanya perkataan-perkataan ini sahaja saya kira sangat-sangat mengelirukan. Ia boleh jadi kerana diprovokasi oleh wartawan kerana suasana pada waktu itu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Kata Ahmad Fadhli, Israel sebenarnya tidak ada langsung hak untuk wujud dalam dunia ini pada hari ini.
“Ini perkara yang perlu kita nyatakan dengan tegas bahawa dalam suasana seperti hari ini kezaliman dengan segala macam jenayah yang dilakukan oleh Israel maka kita minta supaya Perdana Menteri dapat mengulangi semula kenyataan yang lebih tegas bahawa apa yang diucapkan dalam wawancara itu tidak tepat dengan pendirian yang sepatutnya kita ungkapkan.
“Kita tahu dan kita faham bahawa pendirian kita ini tidak boleh dianggap terlalu keras kerana kita bergantung kepada banyak perkara.
“Tetapi dengan kita mengemukakan usul untuk mengeluarkan Israel daripada PBB apalah sangat untuk kita menyatakan bahawa Israel sudah tidak ada hak untuk wujud dalam dunia yang ada pada hari ini kerana negara ini diasaskan oleh genosid, kezaliman, darah rakyat Palestin yang tumpah tidak ada dosa dan alasan yang munasabah,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) turut membangkitkan perkara sama dengan menjelaskan beliau keliru dengan kenyataan Perdana Menteri, sekali gus meminta penerangan secara terperinci tentang perkara tersebut.
“Saya juga ingin menyatakan kekesalan, keliru terguris hati apabila satu ucapan oleh Perdana Menteri ketika diwawancara CNN semalam, apabila wartawan menyatakan adakah Israel perlu mempertahankan diri, dijawab Perdana Menteri mengatakan ‘ya’.
“Saya risau jika ucapan ini dimanipulasi kita menjustifikasi tindakan Israel untuk terus bantai rakyat di Gaza,” katanya.
Katanya lagi, perkara ini perlu dijelaskan Kementerian Luar bagi mengelakkan persepsi rakyat Malaysia sendiri yang melihat Perdana Menteri tiada pendirian mengenai kekejaman Israel
Dalam perkembangan sama, ahli parlimen kerajaan, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) turut meminta kementerian menjelaskan mengapa ketimbang peruntukan 2025 tentang peruntukan terhadap Gaza semakin berkurang berbanding tahun lalu.
“Dalam keadaan agensi PBB yang perlu disokong dan sumbangan kemanusiaan perlu ditingkatkan, mengapakah jumlah perbelanjaan berkurangan anggaran ketimbang 2024 jika dibandingkan 2025.
“Itu persoalannya dan mungkin ada peruntukan dari sumber lain seperti Tabung Amanah yang digunakan pihak kementerian (untuk memberi peruntukan),” soalnya. – UTUSAN