PARLIMEN: Kerajaan tidak mahu tanggung beban kewangan akan datang - PM

PARLIMEN: Kerajaan tidak mahu tanggung beban kewangan akan datang – PM

ANWAR IBRAHIM - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan memajak helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kontrak bernilai RM16.5 bilion bagi tempoh 15 tahun, kerana tidak mahu menanggung beban kewangan tidak menentu pada tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun nilai kontrak dilihat lebih tinggi, namun ia telah meliputi kos keseluruhan termasuk operasi dan penyelenggaraan.

“Walaupun sesetengah negara membeli dengan harga lebih murah, tapi kalau kita tengok penyelenggaraan dia, akhirnya ada keperluan pesawat yang penyelenggaraan dia lebih mahal daripada pesawat dari peringkat awal.

“Tetapi syaratnya adalah latihan mestilah di sini, pemindahan teknologi di sini, kita gunakan Lapangan Terbang Batu Berendam sebagai pusat dan kilang, jadi itu syarat yang mampu kita kenakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Onn meminta Perdana Menteri menjelaskan dasar kerajaan berhubung sewaan helikopter itu sama ada akan diguna pakai kepada aset lain seperti jet pejuang.

Di bawah kontrak pajakan itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima dua buah helikopter manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjadi penerima terbesar dengan 12 buah helikopter.

Sementara itu Polis Diraja Malaysia akan menerima tujuh buah helikopter, empat buah bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menerima dua buah helikopter dan Jabatan Perdana Menteri akan menerima sebuah helikopter.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga berkata, tujuan utama kontrak sewaan melibatkan 28 buah helikopter itu adalah untuk memenuhi keperluan agensi pengguna, menjalankan operasi udara harian dan misi misi tertentu selain peperangan.

Anwar turut mengulas tindakan kerajaan yang melaksanakan secara pajakan pembelian itu dan tidak ditawarkan secara tender terbuka antarabangsa.

“Ini lebih telus kita buat G to G (Government to Government), tidak ada ejen, tidak ada runding terus bagi syarikat yang boleh dan tentunya kita akan bagi keutamaaan syarikat negara dan tidak pergi kepada syarikat luar negara, yang ada rekod dan prestasi memuaskan,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) tentang keperluan isu pajakan helikopter dengan kontrak bernilai RM16.5 billion dibawa ke Jawatankuasa Parlimen, Perdana Menteri menegaskan, tidak ada negara di dunia ini yang membincangkan soal keperluan teknikal keselamatan secara umum.

“Saya tidak setuju isu pembelian senjata, itu pun kita dah umumkan setakat yang boleh diumumkan. Tapi apa keistimewaan setiap helikopter itu, saya tidak fikir ia boleh dibahaskan Jawatankuasa Parlimen,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya