KUALA LUMPUR: Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan buat masa ini bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kajian telah dijalankan dengan menilai sama ada pindaan perlu dibuat supaya seiring dengan peredaran masa atau menggubal sebuah akta baharu bagi menangani isu 3R.
Menurut beliau, memorandum Jemaah Menteri telah dibentangkan bagi penetapan dasar berkaitan perkara tersebut.
“Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar supaya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri menyelaras penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Negara bagi memelihara keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalaman termasuklah melindungi Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan keharmonian antara agama,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) meminta kementerian menjelaskan pelan sama ada untuk memansuhkan Akta Hasutan atau memindanya supaya hanya digunakan untuk perkara yang menyentuh institusi diraja dan tidak disalah gunakan untuk isu lain.- UTUSAN