PETALING JAYA: Kawasan di timur Semenanjung Malaysia dijangka alami peningkatan kekuatan luruan monsun pada 27 November hingga 1 Disember ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan sedang berlaku di timur dan selatan Semenanjung Malaysia.
Katanya, keadaan itu dijangka berlarutan sehingga hujung November ini.
Bagaimanapun, tambahnya, berdasarkan analisis terhadap ramalan cuaca terkini menunjukkan kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November sehingga 1 Disember.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur Semenanjung Malaysia dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Cuaca buruk itu dijangka melanda keseluruhan negeri Terengganu, tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin serta empat daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Berdasarkan ramalan dikeluarkan MET Malaysia, hujan berterusan berstatus waspada turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan dan Pahang.
“Antara kawasan terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Putih di Kelantan.
“Di Pahang pula hujan berterusan berstatus waspada dijangka melanda Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook miliknya hari ini.
Selain itu, MET Malaysia juga meramalkan hujan berterusan berstatus waspada membabitkan keseluruhan Melaka, beberapa daerah di Negeri Sembilan dan Johor bermula hari ini sehingga esok.
“Kawasan yang terlibat adalah Kuala Pilah, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan serta Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Hisham berkata, MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengemas kini Amaran Hujan Berterusan sekiranya keadaan cuaca dijangka bertambah buruk.
Orang ramai juga boleh menghubungi MET Malaysia di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung keadaan cuaca di tempat masing-masing. – UTUSAN