MELAKA: Di sebalik kemeriahan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang berbaki dua bulan lagi, isu hakisan Pantai Puteri dan kawasan sekitarnya terus berpanjangan tanpa kesudahan.
Landskap pantai peranginan sepanjang 2.5 kilometer itu dikhuatiri lenyap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya kerja-kerja pemuliharaan seperti penambakan tidak dilakukan segera.
Masalah hakisan ekstrem diparahkan lagi dengan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa bersama angin kencang dan ombak besar sehingga aktiviti riadah seperti mandi-manda tidak sesuai lagi dijalankan di situ.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi mengakui Pantai Puteri berpotensi lenyap kerana hakisan, seterusnya menjejaskan 180 nelayan dan 120 peniaga yang sekian lama menjadikannya sebagai lokasi mata pencarian.
“Menjadi masalah kepada nelayan untuk mencari rezeki di pantai tersebut. Bila hakisan terlalu tinggi, mereka hendak turunkan bot jadi susah, hendak naik lagi bahaya. Turun masih boleh lagi tetapi masa mendarat nanti ia boleh pecahkan bot.
“Satu lagi bila air pasang besar akan menjadikan bot-bot yang ada di sekeliling hanyut. Kalau hendak ceritakan marahnya nelayan, sudah tidak boleh digambarkan lagi.
“Tetapi saya pun tidak boleh marah kepada pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), mereka pun berusaha juga supaya kementerian mendengar rintihan mereka. Akhirnya pada bulan lalu, kita sudah melawat tapak dan sekarang ini saya dengar dalam proses lantikan kontraktor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Perubahan Iklim Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, projek tambakan Pantai Puteri akan mula dilaksanakan tahun depan.
Tambah Tuminah, berhubung nasib para peniaga yang bakal kehilangan tapak perniagaan apabila projek tambakan bermula, perbincangan untuk memindahkan mereka ke lokasi bersesuaian sedang dilakukan bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah.
“Kalau mereka tidak berpindah, keselamatan makanan itu tidak terjamin. Sebab bila tambak akan ada pasir halus, memang tidak sesuai, tidak selamat.
“Cuma sekarang saya bersama dengan MBMB, JPS dan PDT untuk mencari lokasi bagi perpindahan sementara para peniaga,” katanya. – UTUSAN