RANTAU PANJANG: Pangkalan haram di sekitar pekan ini dilihat tetap ‘meriah’ dengan aktiviti keluar masuk penduduk untuk ke ke Golok, Thailand.
Tinjauan Utusan Malaysia selama dua jam bermula 5 hingga 7 petang tadi di beberapa buah pangkalan haram mendapati urusan keluar masuk berjalan seperti biasa walaupun arus air Sungai Golok dilihat susulan hujan yang mulai turun sejak beberapa hari lalu.
Pada masa sama, tinjauan mendapati kenderaan plat tempatan luar memenuhi kawasan persendirian yang menawarkan perkhidmatan pakir.
Bagaimanapun, berita penangkapan enam warga Malaysia bersama 6,000 biji pil kuda pada Jumaat lalu tidak menjejaskan urusan keluar masuk di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Yie, 45, berkata, menafikan orang ramai ke Golok bukan semata-mata untuk berhibur.
Katanya, kebanyakan mereka ke Golok itu atas urusan keluarga, membeli-belah, melancong dan banyak lagi.
“Adalah tidak adil untuk melabelkan mereka ke Golok semata-mata untuk berhibur. Bukan semua berbuat demikian.
“Sedangkan macam saya ke Golok untuk bertemu sanak saudara selain membeli barang keperluan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, golongan muda dari negeri ini gemar ke kelab malam di Golok, Thailand untuk berhibur setiap kali hujung minggu iaitu pada malam Jumaat dan Sabtu.
Kebanjiran golongan itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka perlu menunggu ‘syif’ atau giliran untuk memasuki kawasan tersebut dan kemudian berhibur.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat itu disampaikan sendiri oleh rakan sejawatannya yang mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.-UTUSAN