JELEBU: Sebanyak 218 koleksi miniatur termasuk set figura berbusana tradisional dan koleksi diorama cara hidup pelbagai etnik di Malaysia dipamerkan di Muzium Adat, Kuala Klawang di sini.
Ia bersempena Pameran Citra Malaysia dalam Seni Miniatur yang diadakan muzium berkenaan bermula hari ini sehingga 31 Disember nanti.
Timbalan Pengarah Muzium Negara, Nor Hanisah Ahmad berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 61 set figura etnik berbusana tradisional, 140 koleksi makanan warisan dan 16 koleksi diorama cara hidup dan sambutan perayaan pelbagai etnik di Malaysia dipamerkan.
Katanya, pameran berkenaan adalah bertujuan untuk memberi pengalaman baharu kepada pengunjung memahami dan mengenali kepelbagaian dalam perpaduan menerusi seni miniatur.
“Penceritaan pameran ini dibahagikan kepada empat segmen iaitu Citra Malaysia dalam Seni Miniatur, Seni Busana Tradisional, Budaya Gastronomi dan Budaya Sebagai Identiti.
“Selain pameran, turut diadakan aktiviti seni membuat miniatur makanan sebagai pengisian sisipan sepanjang pameran ini berlangsung. Penyertaannya dibuka kepada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dan aktiviti ini khusus untuk memperkenalkan seni miniatur dan mencungkil bakat kreativiti kanak-kanak,” katanya.
Pameran Citra Malaysia dalam Seni Miniatur ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Menurut Nor Hanisah, seramai 1,000 orang pengunjung disasarkan terdiri daripada pelawat tempatan, pelajar sekolah dan peminat seni miniatur sepanjang pameran berlangsung.
Sementara itu, Nicole Tan berkata, penganjuran pameran seumpama ini dapat menarik lebih ramai orang ke Jelebu termasuk ke Muzium Adat.
“Saya berharap Muzium Adat terus berusaha mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang lebih kreatif, berimpak tinggi dan berinovatif dengan aplikasi teknologi terkini agar institusi muzium ini terus kekal relevan dan menjadi produk utama di daerah Jelebu dan juga di Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN.