KEMAMAN: Seorang timbalan pengerusi masjid di daerah ini menjadi individu kedua ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan senarai asnaf palsu termasuk isterinya bagi mendapat zakat daripada sebuah badan kebajikan sebuah syarikat swasta.
Timbalan pengerusi itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga Isnin depan selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an hingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Menurut sumber SPRM, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman kira-kira pukul 12.30 tengah hari, semalam.
“Suspek disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang mengandungi maklumat palsu kepada badan kebajikan syarikat swasta di Kerteh termasuk isterinya bagi untuk mendapat zakat daripada syarikat tersebut.
“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Chukai bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.