RAUB: Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil berjumlah RM1.14 bilion melebihi sasaran ditetapkan RM1.13 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu hasil perancangan dan kajian teliti kerajaan negeri dalam memastikan sasaran kutipan hasil dicapai.
“Setiap tahun kita berjaya mencapai kutipan melebihi sasaran dan ini bermakna apa yang kita buat, apa yang kita rancangan bukanlah kita buat ikut suka kita.
“Kita ada penelitian, ada perancangan ada kajian dan kita tetapkan sasaran. Sebab itu sasaran kita boleh capai seperti mana yang saya bentangkan pada bajet yang lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutupan Karnival Tanah Pahang Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dewan Titiwangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini hari ini.
Wan Rosdy juga memaklumkan, dengan kejayaan tersebut, sudah pasti akan ada berita gembira buat pegawai dan kakitangan kerajaan negeri ini.
Namun katanya, pihaknya masih belum memutuskan jumlah bantuan yang akan diberikan yang dijangka akan diumumkan pada Belanjawan Pahang 2025 pada 29 November nanti.
“Seperti biasa sudah pasti ada (berita gembira), tapi banyak mana, saya belum putuskan lagi dengan rakan-rakan dalam kerajaan egeri kerana kita akan mengambil kira semua padangan terutama daripada Pegawai Kewangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan selepas itu baru kita buat keputusan.
“Pokoknya ada. Dan kalau lihat rekod lampau kepimpinan saya, kita tidak pernah gagal membayar bantuan kewangan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Wan Rosdy mengumumkan hasil kutipan cukai telah mencecah lebih RM1 bilion sekali gus menjadikan Pahang negeri yang memperoleh kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut. – UTUSAN