KUANTAN: Pahang menjadi negeri pertama memberikan tambahan kuota kepada 2,000 calon di bawah program MyLesen dengan nilai berjumlah RM720,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim, tambahan ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan.
“Untuk kuota 2,000 daripada kerajaan Pahang, ia sebenarnya untuk tahun ini tetapi kita nak selesaikan dahulu program MyLesen daripada kerajaan Persekutuan, dah selesai baru kita sambung yang daripada kerajaan negeri pula.
“Dan memandangkan sudah hujung tahun dan mungkin tak sempat, kita akan jalankan pada awal tahun depan. Ini menjadikan jumlah penerima manfaat di negeri Pahang gabungan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri adalah seramai 4,590 calon,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Program MyLesen Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.
Razali berkata, program MyLesen dilihat memberikan kesan positif kepada pembangunan ekonomi masyarakat di negeri ini selain berhasrat untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada masa hadapan.
“Program ini banyak manfaat kepada masyarakat bukan setakat untuk kegunaan peribadi tetapi juga untuk mendapatkan pekerjaan, boleh jana perniagaan, ada diantaranya yang mendapat lesen bagi memandu bas, lori, e-hailing dan sebagainya. Jadi ia membuka banyak ruang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat.
“Kerajaan negeri akan memberikan komitmen jika JPJ berhasrat memperluaskan lagi program MyLesen pada masa akan datang, agar lebih ramai rakyat negeri ini dapat menerima manfaatnya.
“Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan JPJ, institut memandu dan agensi yang berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan dan capaian program ini,” katanya.
Program MyLesen merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk memberi peluang kepada golongan B40 terutama belia memiliki lesen memandu secara percuma.
Ia melibatkan peruntukan RM1,028,100 di bawah Belanjawan Madani 2024 dengan 2,500 peserta lesen motosikal kelas B2, 40 orang peserta bagi GDL Lori, 30 orang peserta untuk lesen PSV Bas, dan 20 orang peserta lesen PSV e-hailing di Pahang. – UTUSAN