Pahang catat 49 kes orang hilang sehingga Oktober lalu, empat belum ditemukan - Utusan Malaysia

Pahang catat 49 kes orang hilang sehingga Oktober lalu, empat belum ditemukan

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang mencatatkan 49 kes laporan orang hilang bemula Januari sehingga Oktober lalu dengan empat daripadanya belum ditemukan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes orang hilang paling lama adalah melibatkan seorang lelaki dari Felda Bukit Mendi, Triang, Bera.

“Kes pertama paling lama pada bulan Jun lalu dan laporan dibuat isteri lelaki berkenaan. Pasangan ini tidak tinggal bersama dan kali terakhir mereka berhubung pada Mei lalu dan suami wanita berkenaan memaklumkan hendak pergi menuntut ilmu agama.

“Tapi sehingga bulan Jun, si isteri cuba berhubung namun gagal dan disebabkan itu, si isteri membuat aduan polis memaklumkan suaminya hilang.

“Kita masih menyiasat sama ada lelaki itu telah keluar daripada negara atau tidak dan kita akan dapatkan dari pihak Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan November 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Yahaya berkata, dua lagi kes orang hilang melibatkan Orang Asli di Rompin dengan salah seorang daripadanya warga emas berusia 67 tahun yang hilang sejak 15 September lalu.

“Lelaki ini kali terakhir dilihat keluar rumah di Kampung Jemeri, Kuala Rompin, pukul 7 pagi membawa sebilah parang dan lampu. Lelaki itu keluar dan sehingga kini belum pulang.

“Pihak polis dimaklumkan lelaki ini telah beberapa kali keluar merayau di kawasan hutan dan akan pulang semula dalam tempoh seminggu. Untuk ini, kita akan dapat perkembangan dari keluarga sama ada sudah balik atau tidak,” ujarnya.

Satu lagi kes katanya, melibatkan seorang lelaki Orang Asli dari Kampung Kedaik, Kuala Rompin, berusia 27 tahun yang keluar rumah pada 16 Oktober lalu membawa sebilah pisau penoreh getah dan beg galas untuk pergi menoreh getah namun tidak pulang sehingga kini.

“Bagi kes remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Maran pada 9 November lalu, kes ini masih dalam siasatan dan pihak polis telah menemukan beberapa petunjuk termasuk mengenal pasti lokasi remaja ini yang dikatakan kini berada di utara tanah air,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, kebanyakkan kes orang hilang di negeri berpunca daripada tekanan di rumah dan pelajaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN