Pahang bina pangsapuri untuk B40 tahun depan - Utusan Malaysia

Pahang bina pangsapuri untuk B40 tahun depan

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) menunjukkan buku Belanjawan Pahang 2025 selepas sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang akan membina pangsapuri di bawah Projek Pangsapuri Pahang bagi menampung keperluan rumah bagi rakyat negeri ini khususnya golongan B40.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan pangsapuri itu merupakan projek rintis yang dijangka bermula tahun depan.

“Itu adalah projek rintis yang mana kita dapati tanah di negeri ini semakin kurang… jadi dengan pangsapuri ini, ramai yang akan dapat duduk.

“Lokasinya kita masih belum kenalpasti kerana ini projek rintis, namun yang pastinya ia akan menguntungkan terutama buat golongan B40.

“Perancangannya akan dibuat di setiap daerah dan kita akan mula bina satu dahulu tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Pahang 2025 di Wisma sri Pahang di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy lagi, pihaknya masih lagi belum memutuskan sama ada pangsapuri berkenaan akan diberikan secara percuma atau dijual secara sewa beli.

“Kita tengah fikir sama ada diberikan secara percuma atau sewa beli dan sebagainya. Yang penting, yang memudahkan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membina 350 unit Rumah Rakyat pahang fasa enam melibatkan kos pembinaan RM28.7 juta melalui peruntukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dengan sokongan peruntukan RM9.45 juta daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga turut bersetuju untuk menampung kenaikan kos pembinaan setiap Rumah Rakyat Pahang daripada RM75,000 kepada RM80,000 sebuah.

“Pada masa sama, kerajaan negeri turut akan menyediakan peruntukan RM9.84 juta bagi tujuan pelaksanaan pembinaan sebanyak 120 unit Rumah Rakyat Pahang fasa enam khusus untuk masyarakat Orang Asli di Pahang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN