Paddy Jewellery: Lelaki mengaku tak bersalah tipu lebih RM300,000

Paddy Jewellery: Lelaki mengaku tidak bersalah tipu lebih RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai penyedia makanan di sebuah hospital kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan pelaburan emas yang tidak wujud, dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Rosdi Abdul Malek, 35, didakwa telah memperdayakan seorang pengurus kedai serbaneka, Siti Nur Faezah Zulkifli, 38, berkaitan skim pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM153,900 kepada dua akaun bank atas nama syarikat Paddy Jewellery.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menerima deposit tanpa lesen sah membabitkan jumlah serupada daripada mangsa sama.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di tempat yang sama iaitu di sebuah apartment The Holmes, Bandar Tun Razak, Cheras pada Mei 2022 dan 20 Februari hingga 28 Jun 2024.

Rosdi turut didakwa menipu seorang penjawat awam, Mohammad Shahrulnizam Ahmad, 47, bahawa tertuduh akan membekalkan emas pada harga yang kurang dari harga pasaran sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM156,650 kepada syarikat sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah hospital di antara Mei 2022 hingga 19 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan menipu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menerima deposit haram, Rosdi didakwa mengikut Seksyen 137(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak maksima 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd. Razak dan M. Saravanan manakala Rosdi diwakili diwakili peguam bela, Davey Wan Guan Hui.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 10 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Pada 23 Oktober lalu, media melaporkan polis menerima sebanyak 69 laporan polis dengan kegiatan penipuan pelaburan emas ‘PA Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’ dengan kerugian RM48.5 juta.

Siasatan awal mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN