PAC bimbang FELCRA belum jual bangunan Semarak20 - Utusan Malaysia

PAC bimbang FELCRA belum jual bangunan Semarak20

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad (FELCRA) mencetuskan kebimbangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana masih belum menjual bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak walaupun terdapat syarikat yang berminat.

PAC dalam laporan diterbitkan hari ini, penjualan unit Semarak20 masih dalam status belum dijual dan cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli pada ketika ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu menunjukkan minat untuk membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc.

Empat syarikat secara rasmi sudah menyatakan minat untuk pembelian secara en-bloc dengan mengemukakan surat hasrat.

Namun FELCRA Properties Sdn Bhd (FPSB) masih menunggu pihak berkenaan membuat tawaran harga untuk tindakan selanjutnya.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, FELCRA perlu menjual kepentingan projek komersial itu dalam kadar segera.

“Ini bagi meningkatkan hasil FELCRA, seterusnya membayar hutang kerajaan tanpa menggunakan dana dalaman,” katanya dalam Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi syor laporan PAC Parlimen berhubung FELCRA.

Terdahulu, PAC mengemukakan lima syor yang antara lain menyarankan kerajaan memantau isu hutang tinggi ditanggung FELCRA serta anak syarikatnya.

Pada Jun lalu, Mas Ermieyati berkata, syor itu dikemukakan selepas prosiding PAC merumuskan FELCRA menerus syarikat subsidiari menceburi pelbagai bidang perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu tidak membantu FELCRA menjana pendapatan, sebaliknya mengakibatkan bebanan hutang lebih bagi menanggung operasi perniagaan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu juga mengesyorkan KKDW dan FELCRA lebih bertanggungjawab dan tegas dalam mengawal selia anak syarikatnya bagi menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

KKDW dan FELCRA juga perlu melaporkan perkembangan terkini status pembayaran hutang kepada kerajaan dan pelaksanaan strategi terhadap projek Semarak20 kepada PAC, setiap tiga bulan sebagai mekanisme pemantauan.

Sementara itu, KKDW menerusi maklum balas yang diterbitkan dalam laporan PAC, memberi komitmen untuk memastikan FELCRA dan FPSB melaporkan status penjualan projek Semarak20 secara berkala.

Katanya, pelaporan itu akan dibuat kepada Pengurusan Tertinggi KKDW melalui mesyuarat jawatankuasa yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha atau timbalannya.

“Bagi mendapatkan pulangan segera, Lembaga Pengarah FPSB sudah bersetuju dan meluluskan untuk membuat jualan secara en-bloc ketika mesyuaratnya, sebelum ini.

“Setelah FPSB melaporkan status penjualan secara en-bloc tidak dapat dimuktamadkan, Lembaga Pengarah FELCRA Berhad pada mesyuarat Bil 228 bertarikh 28 Jun lalu, bersetuju dengan cadangan melanjutkan tempoh penjualan Semarak20 hingga 31 Ogos 2024,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya