SEREMBAN: Nombor pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan NEE 9 menjadi nombor pendaftaran yang dibida harga paling tinggi, iaitu sebanyak RM266,666.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, secara keseluruhannya, bidaan siri NEE yang bermula 15 November lalu dan berakhir pada kelmarin (Selasa) lalu merekodkan kutipan hasil sebanyak RM4,578,075.
“NEE 8 pula berada di tempat kedua tertinggi dengan harga RM188,123. Selanjutnya, NEE 3 dengan nilai RM158,999, NEE 7 (RM148,888) dan NEE 6 (RM141,600).
“Siri NEE mendapat sambutan yang amat baik daripada pembida dengan jumlah penyertaan keseluruhan pembida seramai 4,661 orang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Hanif Yusabra lagi, seramai 1,936 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing selain siri NEE itu juga merupakan bidaan yang tertinggi dalam sejarah JPJ Negeri Sembilan.
“Lima nombor yang paling banyak dibida ialah NEE 554 seramai 19 pembida, NEE 288 seramai 16 pembida, NEE 244 seramai 15 pembida, diikuti dengan NEE 26 seramai 15 pembida dan seterusnya NEE 98 sebanyak 15 pembida,” katanya.